BELIAU sendiri tidak menyangka dianugerahkan Chartered Scientist (CSci) oleh Council Science, United Kingdom 3 September lalu. Apa yang berlaku ini memang tidak diduga olehnya.

Namun begitu, Prof Madya Dr Mohd Nazil Salleh, 43, tetap bangga dan gembira dengan penganugerahan yang luar biasa itu. Sekurang-kurangnya, penglibatan saintis Malaysia dalam bidang bioperubatan dan sains kesihatan bukanlah sia-sia sebaliknya ia mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Beliau merupakan Saintis Pertama Negara yang mendapat CSci ini berkata, selepas penganugerah CSci, kehidupannya mula berubah. Bukan 100 peratus, cuma ada ketikanya waktu rehat bagi Dr Mohd Nazil ini kian hilang dan hidupnya lebih banyak ke arah menerima jemputan dari dalam dan luar negara untuk perkongsian kepakaran bioperubatan, terlibat sebagai panel jemputan, dipanggil sebagai penceramah dan sebagainya.

Ketika di temui di Universiti Selangor (Unisel), baru-baru ini, Dr Mohd Nazil berkata, kehidupannya makin mencabar namun dia tetap enjoy dengan apa yang dilalui pada masa kini.

"Saya suka berkongsi ilmu, tenaga dan idea yang ada ini untuk memajukan bidang sains dan bioperubatan. Bagi saya, ini hanyalah sumbangan kecil yang mampu dilakukan untuk semua dan besar harapan agar ia memberi manfaat," kata anak kelahiran Kuala Lumpur ini.

Sepanjang menjadi saintis, telah banyak penyelidikan yang dilakukan oleh beliau. Antaranya, penyelidikan dalam bidang pengecaman genetik profil - penyakit yang disebabkan genetik seperti kanser dan psoriatic (kulit), kajian ketoksikan pada Model Haiwan dan sebagainya.

Segala penyelidikan dan hasil penulisan beliau ini, telah digunapakai di peringkat antarabangsa amnya dan di universiti khususnya. Beliau yang kini berkhidmat sebagai Dekan Fakulti Bioperubatan dan Sains Kesihatan, Unisel sememangnya telah membanggakan nama Malaysia dan pihak Unisel sendiri.

Anak pasangan Salleh Abd Samad dan Kamariah Abu ini berkata, buat masa ini, ada beberapa penyelidikan yang akan dilakukan oleh beliau. Insya-Allah, ia akan dilakukan mengikut yang dirancang. Cuma katanya, dia kini terlibat dalam Mahidol Declaration 2013 yang akan membuat dasar Asean Medicol Technology Education dan beliau telah dilantik untuk menjadi panel.


Tentang diri

Dr Mohd Nazil dibesarkan di Kota Tinggi, Johor. Beliau bersekolah di Sekolah Menengah Rendah Bandar, Kota Tinggi, Johor dan Sekolah Menengah Teknik, Johor Bharu. Kemudiannya, beliau menyambung pengajian diploma dalam bidang Kesihatan Haiwan dan Sains Penternakan Universiti Putra Malaysia (UPM). Selepas itu, beliau mendapat tawaran menyambung ijazah sarjana muda (kepujian) di University of Bradford, United Kingdom dalam jurusan  Sains BioPerubatan.

Ketika di luar negara, umurnya baru mencecah 21 tahun. Cukup muda dan masih lagi mentah untuk mengharungi dunia luar.

Namun kata Dr Mohd Nazil, di United Kingdom, banyak mengajarnya tentang erti berdikari. Jika di Malaysia, keluargalah yang banyak menguruskan segala benda, tetapi kini tidak lagi.

"Memang terasa kelainan bila di oversea. Segala rasa sedih dan gembira ditanggung sendiri. Mujur ada rakan-rakan yang setia disisi. Sekurang-kurangnya, rasa rindu pada keluarga sedikit terubat dengan kehadiran rakan-rakan akrab.

"Di Bradford, saya memang aktif berpersatuan. Aktiviti universiti pula, semuanya saya join. Saya juga pernah menjadi tukang cuci di universiti semata-mata untuk mencari duit poket bagi menampung pengajian," kata beliau. 

Ketika menjadi tukang cuci, tiada istilah malu dengan rakan-rakan kerana apa yang dilakukan itu adalah untuk mencari duit halal.

"Disini, anda perlu kuat semangat dan rajin mencari duit. Malu itu harus ditolak ke tepi. Kerjalah apa sahaja asalkan gaji yang diterima halal. Bila anda mendapat gaji pertama, sudah pasti anda gembira yang teramat sangat," katanya dengan menambah, kerjaya tukang cuci itu dilakukan pada tahun akhir pengajian dan dia bekerja setiap hari, bermula jam 5 pagi - 9 pagi dan kemudiannya terus ke kelas.

Bercerita tentang pertemuan dengan isteri tercinta, Prof Madya Dr Norashikin Shamsudin yang kini seorang doktor pakar dalam bidang dermatologi dan kini bergelar pensyarah di UPM, Dr Mohd Nazil berkata, mereka sebenarnya tidak pernah mengenali antara satu sama lain dan perkenalan ini terjadi disebabkan seorang rakan yang memperkenalkan Dr Norashikin kepadanya.

"Saya tidak pernah bercinta ketika di Bradford. Dunia saya hanyalah belajar sahaja. Hinggalah pada satu hari, rakan memperkenalkan Dr Norashikin kepada saya. Selepas itu, kami bertunang dan sepanjang tempoh pertunangan (setahun), hanya dua kali sahaja kami berjumpa.

"Pada usia 24 tahun, kami sama-sama sepakat untuk berkahwin. Selepas berkahwin, saya memilih untuk menjadi tutor dan menyambung master di UPM. Beberapa tahun selepas itu, saya menyambung PhD (Molekul Genetik) di London.


Rahsia kekal

Usia perkahwinan mereka berdua sudah menjangkau 17 tahun. Dalam tempoh tersebut, banyak onak duri yang mereka tempuh, namun kesetiaan dan sikap tolak ansur yang mereka amalkan, berjaya mengekalkan kerukunan rumah tangga ini.

"Dalam perkahwinan, ia menjadi lumrah jika terjadinya perselisihan faham. Ini memang diakui. Cuma kita kena bijak menyelesaikan masalah ini dengan baik. Bersikap terbuka, jujur dan segera berunding, adalah jalan selesai yang kami amalkan.
Alhamdulillah, ia berjaya," ujarnya.

Dianugerahkan dua anak, Alif Farhan, 17 dan Arif Hakimi, 15, sudah cukup membahagikan pasangan ini. Namun ada ketikanya Dr Mohd Nazil dan Dr Norashikin masih tetap kesunyian.

"Kedua-dua anak saya kini menetap di asrama. Seorang di MRSM Pekan dan seorang lagi di Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya. Bila mereka di asrama, rumah saya akan menjadi sunyi sepi. Namun, kami sudah biasa dengan hidup sebegini. Untuk mengubat kesunyian, kami banyak melakukan amal ibadat dan hujung minggu, saya akan bersukan," ujarnya.